Friday, June 6, 2008

MINYAK NAK LAGI......


Dua hari yang lepas, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pengumuman PM untuk menaikkan harga minyak petrol sebanyak RM0.78 dan diesel sebanyak RM1.00 berkuatkuasa pada tengah malamnya. Rata-rata rakyat Malaysia di mana sahaja pasti akan berbicara mengenai kenaikan yang disifatkan tidak friendly dan agak drastik ini.
Walaupun diumumkan bahawa terdapat rebet akan diberikan kepada rakyat, namun ia masih tidak dapat mengatasi rasa marah dan terkejut rakyat terhadap kenaikan harga minyak yang disifatkan amat membebankan.


Setelah meneliti beberapa penulisan pada laman web yang lain dan penjelasan dari pihak kerajaan, saya amat tertarik untuk memberikan pandangan dari beberapa sudut yang mungkin tidak dinyatakan secara jelas @ overlook oleh mereka yang telah menaikkan harga minyak ini.


Pertamanya, subsidi yang dikatakan dinikmati oleh semua rakyat Malaysia sebenarnya tidak sampai kepada semua rakyat. Saya menyatakan sedemikian kerana tidak semua rakyat Malaysia memiliki kenderaan sama ada kereta ataupun motorsikal terutama golongan yang miskin dan tidak berkemampuan. Mereka ini tidak mendapat subsidi dalam bentuk rebet sebagaimana yang dinyatakan oleh kerajaan dan terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi untuk membeli keperluan asas seperti beras dan gula (yang telah naik harga). Setakat ini hanya nelayan yang berdaftar sahaja memperolehi subsidi yang agak besar untuk tujuan menangkap ikan. Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang menggunakan enjin bot seperti dikebanyakan tempat di Sabah dan Sarawak? Mereka ini bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan sungai dan juga bukan dari golongan orang yang berkemampuan untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu natijah daripada keputusan kerajaan ini akan menyebabkan jurang yang amat besar di antara golongan miskin dan kaya di Malaysia.


Keduanya, saya amat tertarik dengan komentar seorang sahabat melalui email beliau yang menyatakan bahawa amat banyak penempatan di kawasan pedalaman Sarawak sebagai contohnya di kawasan Ulu Baram yang bergantung sepenuhnya dengan generator untuk mendapatkan kuasa elektrik. Mereka ini juga terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak yang tinggi padahal mereka ini tidak lebih hanya membanting tulang empat kerat sebagai petani!! Bayangkan harga yang terpaksa ditanggung oleh mereka untuk membeli barang keperluan harian dan kos pengangkutan untuk mengangkut barang keperluan harian lantaran kedudukan penempatan mereka yang agak jauh dan memakan masa yang lama dari bandar(5-6 jam menaiki 4WD). Semestinya mereka terpaksa membayar harga yang lebih MAHAL!!!!


Ketiganya, di dalam isu kenaikan harga minyak ini, kerajaan telah mengambil pendekatan yang amat drastik dan tidak konsisten. Ini kerana rakyat diwar-warkan bahawa kenaikan dijangka akan berlaku pada Ogos 2008. Selang sehari selepas itu (Selasa), PM meminta pandangan dari pegawai kerajaan untuk menangani isu kenaikan harga minyak dan tiba-tiba pada hari berikutnya (Rabu) PM mengumumkan kenaikan harga minyak. Sebagai rakyat sudah pastinya kita rasa seperti dipermain-mainkan. Bagi saya kenaikan harga minyak ini tidak kena pada waktunya kerana pada tempoh yang terhampir, sekolah akan dibuka untuk penggal yang baru dan beban kewangan ibubapa akan meningkat dengan kenaikan kos pengangkutan bas sekolah dan pembelian barang keperluan persekolahan anak-anak. Bagaimana pula dengan ibubapa yang mempunyai 2-5 orang anak yang bersekolah? Pastinya beban ini amat dirasai oleh mereka. Apa yang dibimbangkan ialah mungkin ada ibubapa yang tidak mampu untuk menghantar semua anak-anak ke sekolah dan akhirnya berlakulah keciciran rakyat Malaysia dalam pelajaran. Saya berpendapat apalah salahnya jika kenaikan ini ditangguhkan sehingga awal Julai sekurang-kurangnya dan diumumkan awal sedikit(2-3 hari) untuk memberi sedikit persediaan kepada rakyat.


Selain itu isu penarikan balik larangan penjualan minyak kepada kenderaan asing menunjukkan satu keputusan yang tidak konsisten telah diambil oleh kerajaan dan menggambarkan pendirian yang cacamerba kerana sebelum ini lantang disuarakan warganegara asing banyak yang meraih keuntungan hasil subsidi yang diberikan kerajaan. Lantaran itu, mengapa belum seminggu diumumkan dan dikuatkuasakan telah ditarik balik keputusan ini?


Keempatnya, rakyat Malaysia sedar bahawa lambat laun, subsidi minyak ini pasti akan berkubur dari dinikmati oleh rakyat. Oleh itu, pengurangan subsidi secara berjadual dan tidak membebankan rakyat seharusnya telah dirangka awal oleh kerajaan untuk memberi persediaan yang secukupnya kepada rakyat. Ini dapat mengelak daripada berlakunya kenaikan harga minyak yang melampau seterusnya mempengaruhi harga barang keperluan lain yang pada akhirnya menyebabkan peningkatan inflasi. Sudah sepatutnya kerajaan mencari alternatif bahan tenaga lain yang lebih murah sebagai pilihan kepada rakyat. Sekiranya penggunaan NGV itu menjimatkan dan berbaloi, maka ianya perlu diperluaskan ke seluruh negara bukan di sesetengah tempat sahaja. Selain itu, janji kerajaan untuk menambahbaik pengangkutan awam semenjak 2006 (selepas kenaikan harga minyak pada masa itu) masih tidak dikotakan sehingga kini.


Kelima, saya bersetuju sekiranya kerajaan menilai kembali pelaksanaan projek pembangunan negara berdasarkan konsep keutamaan. Memenuhi keperluan asas (dharuriy)rakyat terlebih dahulu dan tidak melaksanakan projek atas nama pembangunan yang hanya bersifat untuk bermewah-mewah dan membazir sahaja. Oleh itu slogan "ubah gaya hidup" sepatutnya mencerminkan budaya kerajaan yang berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah yang kemudiannya akan diterjemahkan oleh rakyat dalam kehidupan mereka.


Saya juga amat bersetuju dengan saranan bahawa elaun para menteri dan pegawai tinggi kerajaan perlu dipotong. Atau sekurang-kurangnya biarlah semua menteri perlu bayar minyak kenderaan mereka sendiri @ kenderaan rasmi supaya mereka dapat merasai kesusahan rakyat dan akan lebih dekat kepada kita. Ini juga sebagai satu permulaan ke arah slogan "Ubah Gaya Hidup" dan "Kepimpinan Melalui Tauladan".




1 comment:

Nour El AiN said...

nang menar ya..
sewel rasanya ngenang gaji ngan rega minyak nait,dahla gaji kecik,dah la nait secara mengganas.. ada beberapa hour jak sebelum harganya dinaikkan dari pengumuman ya.. da next day nya.. boh padahlah nang sumwa barang nait rega.. kita kerja tok gik sengsara rasa dedek gik org susah nang.... huh!cakap pun tidak guna...