Thursday, June 26, 2008

PEMIMPIN HAMAS DIIKTIRAF


Bekas duta Amerika anggap Haniyeh bijak

WASHINGTON: Seorang bekas diplomat kanan Amerika semalam menyifatkan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh seorang 'ahli politik bertimbang rasa' dan berkata, pentadbiran Amerika patut menarik balik keputusannya yang enggan berhubung dengan pergerakan Palestin itu. Richard Viets, yang pernah berkhidmat sebagai duta Amerika ke Jordan pada awal 1980-an berpendapat, pertemuannya dengan Haniyeh di Gaza awal bulan ini sebagai misi peribadi kumpulan dari Amerika bagi mencari fakta di wilayah itu. "Haniyeh seorang yang sangat bijak, jelas dalam menyatakan pendirian, berpandangan jauh dan seorang ahli politik yang bertimbang rasa. Anda memang patut berasa bangga jika dapat duduk di dalam sebuah bilik dan bercakap dengan beliau," katanya dalam satu sidang media semalam.


Viets berkata, secara keseluruhan pandangan Haniyeh mengenai Israel adalah jelas, seimbang dan tanpa sebarang unsur polemik. "Laporan media Amerika gagal memberi gambaran tepat mengenai Hamas atau pendirian Haniyeh yang sebenarnya lebih pragmatik berbanding apa yang kerap diperkatakan. Haniyeh seorang insan yang patut kita kenali dengan lebih dekat dan wajar diajak berbicara," katanya. Viets adalah seorang anggota kumpulan yang menemui pegawai dan aktivis di Mesir, Lebanon, Israel, Gaza dan Tebing Barat dalam satu lawatan ditaja Majlis bagi Kepentingan Kebangsaan (CNI).


Beliau dan diplomat Amerika lain berkata, pergerakan Hamas juga bersedia mengadakan rundingan dan berkompromi untuk menyelesaikan kemelut di Asia Barat. Laman web kumpulan itu menegaskan ia akan berusaha mencari jalan menentang 'taktik lobi keterlaluan Israel' di Amerika terhadap Palestin. Amerika dan Kesatuan Eropah enggan mengadakan rundingan dengan Hamas yang mereka anggap sebagai pertubuhan pengganas, kecuali ia menghentikan serangannya dan mengiktiraf kewujudan Israel. - AFP
(Dalam isu Palestin, adalah janggal jika hanya satu pihak sahaja yang dibawa berunding iaitu pihak Fatah sedangkan HAMAS yang berjaya membentuk kerajaan diketepikan. Jika melalui cara demokrasi yang diagung-agungkan oleh majoriti manusia tidak mampu memberi jalan penyelesaian dan pengiktirafan kuasa-kuasa besar, jangan salahkan Rakyat Palestin yang terpaksa memilih jalan lain yang lebih sesuai. Mungkin sebagai orang Islam, kita patut salahkan diri kita sendiri JIKA ORANG LAIN yang menjuarai isu ini ....dan kita sekadar OOOOO...I...........C..........)

Monday, June 23, 2008

BAHTERA NABI NOH......

ULASAN: Nasihat yang ringkas dan mudah.....cuma perlu faham sahaja.

Saturday, June 21, 2008

RUPA-RUPANYA..............


Saya amat tersentuh apabila melihat gambar di sebelah. Sekali lihat seperti sekumpulan pelatih PLKN menjalankan aktiviti lasak....dua kali tengok...macam budak-budak sarkas tengah training...TETAPI BILA TENGOK BETUL-BETUL rupa-rupanya budak-budak sekolah rendah tengah menyeberang sungai dengan aksi berani demi nak jadi pandai dan memenuhi aspirasi modal insan sebagaimana laungan pemimpin kita.


Mungkin ramai dari kalangan rakyat Malaysia tidak terfikir bahawa di dalam negara yang serba maju ini (kata orang) budak-budak sekolah taklah susah sangat nak pergi sekolah. Boleh naik kenderaan atau paling susahpun jalan kaki sahaja...tak payah nak menyeberangi sungai dengan jambatan ala virtual.


Tetapi itulah hakikat yang berlaku di Sabah dan tidak dinafikan di kawasan pedalaman lain di negara kita seperti Sarawak. Jadi tak hairanlah kalau rakyat Sabah bising dan beranggapan mereka di anaktirikan oleh kerajaan Pusat. Beberapa pendedahan oleh wartawan TV3 juga membuktikan betapa daifnya orang-orang kita di Sabah...


Dalam kata lain...antara kesimpulan awal yang boleh dibuat ialah setelah 50 tahun merdeka, limpahan kekayaan negara masih belum sampai kepada semua rakyat dan dalam perspektif yang lain...kerajaan masih gagal melihat keutamaan mendesak yang diperlukan oleh rakyat. Yelah...kalau majlis pelancaran semua koridor di Malaysia boleh cecah jutaan ringgit....takkan bina jambatan untuk budak-budak pergi sekolah takde extra bajet?

Monday, June 9, 2008

LAGI KOMENTAR TENTANG MINYAK NAIK.....

Salam,Ada beberapa perkara yang saya nak komen terhadap ulasan yang diberikan oleh Shahrir Samad Menteri KDNHEP yang mempertahankan tindakan kabinet yang menaikkan harga petrol dan diesel dalam Buletin Utama TV3 malam tadi:Antara hujah beliau yang menyatakan bahawa 'RAKYAT TAK AKAN TERBEBAN DENGAN KENAIKKAN HARGA MINYAK INI' adalah:

1) Rakyat tak terbeban kerana subsidi telah dipulangkan dalam bentuk wang pos RM 150 setahun bg motor di bawah 250 cc dan RM 625 setahun bagi kereta bawah 2.0 cc. (Ingat yg boleh dapat hanya semasa renew roadtax kalo dah renew tahun ni kena la tunggu sampai tahun depan)

Komen: Ok mari kita buat kiraan skit berapa sebenarnya subsidi yang dipulangkan.

i) Motor bawah 250cc:

Subsidi setahun : RM 150
Subsidi sebulan : RM 150/12= RM 12.5 sebulan
Harga petrol skrg: RM 2.70 per liter

1 tank penuh petrol (EX5 class) lebih kurang bersamaan 4 liter, dan boleh digunakan untuk pergi kerja lebih kurang untuk 3 hari (jarak rumah ke tempat kerja lebih kurang 20 km-saya).Jumlah wang yang digunakan untuk bayar petrol untuk pergi kerja selepas harga petrol naik(andaikan 20 hari berkerja) :

= RM 2.7 x 4 liter x 20 hari / 3 hari
= RM 72 sebulan tolak RM 12.5 (subsidi)
= RM 59.50

Jumlah wang yang digunakan untuk bayar petrol untuk pergi kerja sebelum harga petrol naik(andaikan 20 hari berkerja) :
= RM 1.92 x 4 liter x 20 hari / 3 hari
= RM 51.20

Kenaikan yang ditanggung sebulan =RM 59.50 - RM 51.20= RM 8.30 sebulan @ 16% sebulan.

ii) Kereta di bawah 2000 cc
Subsidi setahun : RM 625
Subsidi sebulan : RM 625/12= RM 52.08 sebulan
Harga petrol skrg: RM 2.70 per liter

1 tank penuh petrol (Kancil 660c) lebih kurang bersamaan 30 liter, dan boleh digunakan untuk pergi kerja lebih kurang untuk 5 hari. (jarak rumah ke tempat kerja lebih kurang 15km-isteri)Jumlah wang yang digunakan untuk bayar petrol untuk pergi kerja selepas harga petrol naik(andaikan 20 hari berkerja) :
= RM 2.7 x 30 liter x 20 hari / 5 hari
= RM 324 sebulan tolak RM 52.08 (subsidi)
= RM 271.92
Jumlah wang yang digunakan untuk bayar petrol untuk pergi kerja sebelum harga petrol naik(andaikan 20 hari berkerja) :
= RM 1.92 x 30 liter x 20 hari / 5 hari
= RM 178.32
Kenaikan yang ditanggung sebulan =RM 271.92 - RM 230.4 = RM 41.52 sebulan @ 18% sebulan.
Pengiraan di atas hanya mengandaikan penggunaan petrol bulanan untuk pergi dan balik kerja sahaja.Tetapi harus diingat semakin banyak kita gunakan petrol maka makin banyak lagilah jumlah kenaikkan yang akan kita rasai. Ini kerana semakin banyak kita gunakan petrol semakin banyak perbezaan kerana jumlah subsidi bulanan adalah tetap. Maknanya makin jauh tempat kerja seseorang, makin banyak liter petrol yang akan digunakan dan makin banyak lagilah peratus kanaikkan harga yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.
Contoh jika jarak rumah ke tempat kerja ialah 30km (ambil andaian menaiki Kancil 660 tadi) maka: 1 tank penuh petrol (Kancil 660c) lebih kurang bersamaan 30 liter. Oleh kerana jarak sudah meningkat 1 kali ganda maka 30 liter minyak tadi hanya boleh digunakan 2.5 hari sahaja
Jumlah wang yang digunakan untuk bayar petrol untuk pergi kerja selepas harga petrol naik(andaikan 20 hari berkerja) :
= RM 2.7 x 30 liter x 20 hari / 2.5 hari
= RM 648 sebulan tolak RM 52.08 (subsidi)
= RM 595.92
Jumlah wang yang digunakan untuk bayar petrol untuk pergi kerja sebelum harga petrol naik(andaikan 20 hari berkerja) :
= RM 1.92 x 30 liter x 20 hari / 2.5 hari
= RM 460.80
Kenaikan yang ditanggung sebulan :
=RM 271.92 - RM 230.4 = RM 135.12 sebulan @ 29% sebulan.
Sebenarnya yang untung atas penstrukturan semula subsidi ini adalah golongan penggunan yang dekat jarak rumahnya dengan tempat kerja atau golongan yang membuat perjalanan bagi jarak yang dekat.Masalahnya bukan semua golongan yang berpendapatan rendah membuat perjalanan dekat khususnya mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Sebagai contoh di Klang, kebanyakkan pekerja-pekerja berpendapatan rendah yang berkerja di Klang tidak tinggal di Klang kerana tidak mampu menyewa rumah di Klang. Kebanyakan mereka tinggal kawasan kampung seperti Banting, Kuala selangor, Ijok dll. Jadi penstrukturan semula subsidi ini akan membebankan golongan ini.
2) Teori domino ( kenaikan harga barang lain disebabkan kenaikan harga petrol) tidak akan berlaku kerana baranga lain khususnya barangan asasi seprti tepung, gula, beras dah mendapat subsidi khusus untuk barang tersebut.
Komen:Skrip lama diulang balik, dari Shafie Afdal dan menteri sebelumnya sampailah Shahrir Samad semua kata harga barang lain tak akan naik, tapi realitinya lepas tu SEMUA BARANG NAIK ATAS ALASAN KOS PENGHANTARAN MENINGKAT. Menteri Berdegar-degar kat dalam media kata KITA AKAN PANTAU...tapi last-last pemantauan ntah ke mana, tindakan ntah ke mana...yang sengsara rakyat marhaen sebab SEMUA BARANG NAIK HARGA.
3) Rakyat perlu bersama-sama membantu kerajaan bagi menghadapi kenaikkan harga minyak dunia.
Komen:Dari dulu kini dan selamanya... rakyat kena berkorban demi negara sedangkan menteri-menteri yang buat keputusan tidak pernah ambil langkah untuk berkorban demi rakyat. Apa salahnya dalam menghadapi kenaikkan harga minyak ni para menteri buat keputusan bahawa elaun bagi wakil rakyat dipotong 20% ke, elaun wakil rakyat akan dikenakan cukai ke, tubuhkan satu tabung khas yang mana dananya diperolehi oleh potongan elaun wakil rakyat bagi menangani kenaikan harga minyak ke dan lain-lain lagi.
Ini tidak hanya rakyat disusruh berkorban sedangkan menteri dan wakil rakyat khususnya BN dapat elaun itu, dapat elaun ini, kereta free, minyak free, makan free, minum free, claim sana, claim sini, tak cukup dengan itu siap rembat lagi duit rakyat sana dan sini. Macam mana diorang suruh kita berkorban sedangkan diorang selaku pemimpin tak menunjukkan yang diaorang nak berkorban sama.
4) Last sekali, ubah gaya hidup rakyat ( ni bukan Sharir Samad kata tapi orang FOMCA kata)Nak ubah macam mana sebab semua barang naik, bukan barang kehendak je naik tapi barang asasi pun naik gak. Takkan la sampai nak makan ubi kayu balik je kot, pastu pakai baju dari kain guni??Saya rasa la yang kena ubah gaya hidup ialah para menteri dan wakil rakyat khususnya BN, bukan rakyat marhaean biasa yang semakin lama semakin ditindas, semakin lama semakin lapar, semakin lama semakin merempat kat bumi sendiri ini.
(dipetik dari kiriman email)

Sunday, June 8, 2008

APAKAH ISLAM HADHARI????




Umat Islam Malaysia pasti gembira dan bersyukur diatas usaha kerajaan Pakatan Rakyat Di Selangor yang mengharamkan konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.Selama beberapa tahun, Islam Hadhari ternyata membawa kejayaan dari pelbagai sudut yang diantaranya telah meningkatkan kadar jenayah, inflasi dan kejatuhan moral penganut Islam sendiri.


Islam hadhari dinilai sebagai konsep yang terbaik oleh pengasasnya serta kuncu-kuncu yang bercakap soal Islam pada waktu yang sama jelas telah memperlihatkan penolakan pada konsep sebenar Islam.Langkah memansuhkan konsep Islam Hadhari adalah tepat dan sangat sesuai ketika Malaysia terus memperlihatkan 'kejahanaman' dari pelbagai sudut yang membawa kearah kegagalan.


Secara peribadi saya rasa 'ok' jika Hadhari boleh menyatukan ajaran-ajaran sesat supaya kembali kepada Islam.Tetapi saya tidak jelas Hadhari berjaya ke arah itu bahkan dari sudut lainya juga.Malaysia lebih mudah diurus tadbir andai mengambil penuh ajaran Islam seperti yang terkandung didalam Al-Quran.Tetapi sayang sekali umat Islam hari ini ditambahkan lagi pada pecahan-pecahan yang sedia ada di dalam Islam dengan kewujudan konsep yang tidak ada apa padanya melainkan sekadar nama.


Khir Toyo menyatakan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat bersifat politik kerana memansuhkan Islam Hadhari.Mengapa ia diwujudkan kalau bukan kerana politik?Khir Toyo sendiri tidak mencerminkan siasah Islam sehingga sanggup mengaibkan seseorang dikhalayak ramai.Sementara pengasasnya pula, menggemparkan kita dengan paparan gambar-gambar sensasi yang sedikit pun tidak mencerminkan sifat seorang pemimpin Islam.


Mengapa hadhari diwujudkan?Hanya Pak Lah sahaja yang tahu.Hadhari diteruskan, saya bimbang suatu hari nanti negara kita akan menjadi seperti negara Islam lain yang bersengketa kerana fahaman masing-masing.Semoga Malaysia sentiasa dilindungi Allah S.W.T.

(Dipetik dari malaysiasini.blogspot.com)
[Pandangan peribadi saya tentang Islam Hadhari ialah dari sudut 10 pendekatan/ prinsip yang diwar-warkan memang baik dan tidak lari dari ajaran Islam..TETAPI apabila Islam itu disandarkan dengan nama tambahan yang lain, ia jelas menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia tidak lebih seperti memberi label sebagaimana "Islam ekstrimis, Islam liberal, Islam moderat, Islam hadhari dan sebagainya. Idea ini adalah lebih baik jika dinamakan sebagai Ke arah Pembentukan Masyarakat Hadhari yang dipacu dengan 10 prinsip/ pendekatan itu tadi. Maka ia akan lebih baik, menepati sifat Islam yang universal dan tidak menambahkan lagi label kepada agama Islam yang suci lagi benar ini.
Selain itu, sebagai orang yang bergelar pemimpin Islam, adalah selayaknya menjadikan pegangan yang pertama di dalam prinsip/ pendekatan Islam Hadhari (Keimanan dan Ketaqwaan kepada Allah) sebagai enjin penggerak. Kalau digambarkan sebagaimana gambar di atas, jelas ia satu kepincangan yang besar dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar Pemimpin Islam Hadhari.]

Friday, June 6, 2008

MINYAK NAK LAGI......


Dua hari yang lepas, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pengumuman PM untuk menaikkan harga minyak petrol sebanyak RM0.78 dan diesel sebanyak RM1.00 berkuatkuasa pada tengah malamnya. Rata-rata rakyat Malaysia di mana sahaja pasti akan berbicara mengenai kenaikan yang disifatkan tidak friendly dan agak drastik ini.
Walaupun diumumkan bahawa terdapat rebet akan diberikan kepada rakyat, namun ia masih tidak dapat mengatasi rasa marah dan terkejut rakyat terhadap kenaikan harga minyak yang disifatkan amat membebankan.


Setelah meneliti beberapa penulisan pada laman web yang lain dan penjelasan dari pihak kerajaan, saya amat tertarik untuk memberikan pandangan dari beberapa sudut yang mungkin tidak dinyatakan secara jelas @ overlook oleh mereka yang telah menaikkan harga minyak ini.


Pertamanya, subsidi yang dikatakan dinikmati oleh semua rakyat Malaysia sebenarnya tidak sampai kepada semua rakyat. Saya menyatakan sedemikian kerana tidak semua rakyat Malaysia memiliki kenderaan sama ada kereta ataupun motorsikal terutama golongan yang miskin dan tidak berkemampuan. Mereka ini tidak mendapat subsidi dalam bentuk rebet sebagaimana yang dinyatakan oleh kerajaan dan terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi untuk membeli keperluan asas seperti beras dan gula (yang telah naik harga). Setakat ini hanya nelayan yang berdaftar sahaja memperolehi subsidi yang agak besar untuk tujuan menangkap ikan. Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang menggunakan enjin bot seperti dikebanyakan tempat di Sabah dan Sarawak? Mereka ini bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan sungai dan juga bukan dari golongan orang yang berkemampuan untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu natijah daripada keputusan kerajaan ini akan menyebabkan jurang yang amat besar di antara golongan miskin dan kaya di Malaysia.


Keduanya, saya amat tertarik dengan komentar seorang sahabat melalui email beliau yang menyatakan bahawa amat banyak penempatan di kawasan pedalaman Sarawak sebagai contohnya di kawasan Ulu Baram yang bergantung sepenuhnya dengan generator untuk mendapatkan kuasa elektrik. Mereka ini juga terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak yang tinggi padahal mereka ini tidak lebih hanya membanting tulang empat kerat sebagai petani!! Bayangkan harga yang terpaksa ditanggung oleh mereka untuk membeli barang keperluan harian dan kos pengangkutan untuk mengangkut barang keperluan harian lantaran kedudukan penempatan mereka yang agak jauh dan memakan masa yang lama dari bandar(5-6 jam menaiki 4WD). Semestinya mereka terpaksa membayar harga yang lebih MAHAL!!!!


Ketiganya, di dalam isu kenaikan harga minyak ini, kerajaan telah mengambil pendekatan yang amat drastik dan tidak konsisten. Ini kerana rakyat diwar-warkan bahawa kenaikan dijangka akan berlaku pada Ogos 2008. Selang sehari selepas itu (Selasa), PM meminta pandangan dari pegawai kerajaan untuk menangani isu kenaikan harga minyak dan tiba-tiba pada hari berikutnya (Rabu) PM mengumumkan kenaikan harga minyak. Sebagai rakyat sudah pastinya kita rasa seperti dipermain-mainkan. Bagi saya kenaikan harga minyak ini tidak kena pada waktunya kerana pada tempoh yang terhampir, sekolah akan dibuka untuk penggal yang baru dan beban kewangan ibubapa akan meningkat dengan kenaikan kos pengangkutan bas sekolah dan pembelian barang keperluan persekolahan anak-anak. Bagaimana pula dengan ibubapa yang mempunyai 2-5 orang anak yang bersekolah? Pastinya beban ini amat dirasai oleh mereka. Apa yang dibimbangkan ialah mungkin ada ibubapa yang tidak mampu untuk menghantar semua anak-anak ke sekolah dan akhirnya berlakulah keciciran rakyat Malaysia dalam pelajaran. Saya berpendapat apalah salahnya jika kenaikan ini ditangguhkan sehingga awal Julai sekurang-kurangnya dan diumumkan awal sedikit(2-3 hari) untuk memberi sedikit persediaan kepada rakyat.


Selain itu isu penarikan balik larangan penjualan minyak kepada kenderaan asing menunjukkan satu keputusan yang tidak konsisten telah diambil oleh kerajaan dan menggambarkan pendirian yang cacamerba kerana sebelum ini lantang disuarakan warganegara asing banyak yang meraih keuntungan hasil subsidi yang diberikan kerajaan. Lantaran itu, mengapa belum seminggu diumumkan dan dikuatkuasakan telah ditarik balik keputusan ini?


Keempatnya, rakyat Malaysia sedar bahawa lambat laun, subsidi minyak ini pasti akan berkubur dari dinikmati oleh rakyat. Oleh itu, pengurangan subsidi secara berjadual dan tidak membebankan rakyat seharusnya telah dirangka awal oleh kerajaan untuk memberi persediaan yang secukupnya kepada rakyat. Ini dapat mengelak daripada berlakunya kenaikan harga minyak yang melampau seterusnya mempengaruhi harga barang keperluan lain yang pada akhirnya menyebabkan peningkatan inflasi. Sudah sepatutnya kerajaan mencari alternatif bahan tenaga lain yang lebih murah sebagai pilihan kepada rakyat. Sekiranya penggunaan NGV itu menjimatkan dan berbaloi, maka ianya perlu diperluaskan ke seluruh negara bukan di sesetengah tempat sahaja. Selain itu, janji kerajaan untuk menambahbaik pengangkutan awam semenjak 2006 (selepas kenaikan harga minyak pada masa itu) masih tidak dikotakan sehingga kini.


Kelima, saya bersetuju sekiranya kerajaan menilai kembali pelaksanaan projek pembangunan negara berdasarkan konsep keutamaan. Memenuhi keperluan asas (dharuriy)rakyat terlebih dahulu dan tidak melaksanakan projek atas nama pembangunan yang hanya bersifat untuk bermewah-mewah dan membazir sahaja. Oleh itu slogan "ubah gaya hidup" sepatutnya mencerminkan budaya kerajaan yang berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah yang kemudiannya akan diterjemahkan oleh rakyat dalam kehidupan mereka.


Saya juga amat bersetuju dengan saranan bahawa elaun para menteri dan pegawai tinggi kerajaan perlu dipotong. Atau sekurang-kurangnya biarlah semua menteri perlu bayar minyak kenderaan mereka sendiri @ kenderaan rasmi supaya mereka dapat merasai kesusahan rakyat dan akan lebih dekat kepada kita. Ini juga sebagai satu permulaan ke arah slogan "Ubah Gaya Hidup" dan "Kepimpinan Melalui Tauladan".