Monday, May 19, 2008

TUN DR. MAHATHIR KELUAR UMNO?????



Dr Mahathir isytihar keluar Umno (Berita Terkini)



TUN Dr Mahathir Mohamad secara terbuka mengumumkan keluar daripada Umno sebagai protes kepada keengganan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan mengajak ahli lain keluar parti bersamanya. Bagaimanapun beliau menasihatkan ahli yang keluar Umno tidak menyertai parti lawan dan masuk semula Umno apabila Abdullah meletak jawatan.
(Dipetik dari Berita Harian Online)

MELAYU UBAH PARADIGMA POLITIK..


Cina dan India tidak lakukan perubahan tanpa pemimpin Melayu
Ahmad Tajdid Sun May 18, 08 3:30:47 pm MYT
KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh) - Masyarakat Cina dan India yang melakukan perubahan dalam pilihan raya umum lalu tidak akan berbuat demikian tanpa diterajui pemimpin politik Melayu, kata Pengarah Yayasan Strategik Sosial, Dato' Dr Denison Jayasooria. -->-->
Ketika menyatakan pandangannya pada sesi kedua Seminar Kebangsaan Pilihan Raya 2008 di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), dekat sini, semalam, beliau juga yakin tanpa pengundi Melayu tsunami politik yang berlaku 8 Mac lalu tidak akan berlaku. Menurutnya, pada awal kempen pilihan raya, sememangnya ceramah-ceramah kempen parti-parti politik pembangkang lebih menarik sokongan orang bukan Melayu; bagaimanapun setelah peribadi Dato' Seri Anwar Ibrahim dikecam hebat media massa arus perdana, masyarakat Melayu di bandar dan pinggir bandar merasa tidak puas hati dan mula membanjiri ceramah-ceramah kempen parti pembangkang.

Denison yang juga Pesuruhjaya Suhakam yakin bahawa gabungan pengundi Melayu, Cina dan India khususnya di kawasan marginal mendorong perubahan besar berlaku dalam pilihan raya umum lalu. "Perubahan tidak mustahil berlaku (dalam politik). Pada pilihan raya umum lalu kita melihat orang India beragama Hindu memegang bendera PAS dan mengundi PAS, manakala PAS meletakkan seorang calon India beragama Hindu menerusi KeADILan di negeri selatan Semenanjung," katanya. Beliau menjangkakan perubahan besar akan berlaku dalam empat aspek selepas pilihan raya umum iaitu Parlimen, institusi kehakiman, media massa dan masyarakat sivil.

Parlimen sebagai contoh, ujarnya telah menjadi seperti 'pasar malam' kerana menjadi tumpuan masyarakat dan tidak lagi dianggap eksklusif. Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai suatu yang sihat dalam pengamalan demokrasi. Denison juga yakin perubahan politik yang berlaku tidak menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu. Menurutnya, tidak ada individu mahukan kumpulan bukan Melayu yang mahu mencabar kedudukan Islam, Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu kerana ianya termaktub dalam Perlembagaan. Sambil melahirkan kekagumannya dengan PAS dan para pemimpin PAS, Denison menyarankan dialog diadakan dengan parti itu bagi memahami Islam dan konsep negara Islam yang diperjuangkannya.
"Bercakaplah yang benar kerana kebenaran akan memerdekakan manusia," katanya mengakhiri ucapan.- tajdid (dipetik dari harakahdaily)
ULASAN: Saya amat tertarik dengan kata-kata penutup Dato Dr. Denison seperti di atas. Orang yang bercakap BOHONG untuk menyelamatkan diri masing-masing (dalam pekerjaan, berurusan dengan orang ramai contohnya) sebenarnya telah menjadi HAMBA yang hina.......bercakaplah benar walaupun ia amat pahit untuk diluahkan.

Tuesday, May 13, 2008

Kepimpinan Melalui Tauladan




Petang semalam saya menerima email dari seorang sahabat tentang 2 keping gambar YAB En. Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. sepintas lalu memang tidak ada apa-apa keistimewaan yang tersurat.....cuma yang tersiratnya memberi suatu gambaran yang jelas tentang slogan "Kepimpinan Melalui Tauladan" yang telah lama dilaung-laungkan oleh para ulamak dan pemimpin kita.


Nabi pernah mengingatkan kita umat Islam supaya mengambil sesuatu yang baik (hikmah) walaupun ianya dilakukan oleh penganut agama lain ataupun terdapat pada amalan adat bangsa lain kerana hikmah ini ialah barang berharga yang telah lama hilang dalam diri umat Islam.


Lantaran itu, pengajaran yang boleh kita ambil ialah betapa rendah dirinya manusia ini walaupun jika dilihat dari sudut pangkat dan darjat, beliau diberi keistimewaan untuk diiringi oleh pengawal-pengawal keselamatan, ps, tempat duduk Business Class dan pelbagai lagi. Namun Lim Guan Eng hanya berjalan seorang diri tanpa pengiring sebagaimana rakyat jelata yang lain dan.........memilih untuk duduk di kelas Ekonomi seperti orang kebanyakan. Saya hampir-hampir tidak ingin untuk mempercayainya...seorang ketua kerajaan negeri duduk di kelas Ekonomi?????


Oleh itu, saya percaya tidak ramai dikalangan pemimpin kita yang sanggup untuk melakukan sepertimana YAB Menteri Besar Kelantan yang semua sedia mengetahui walaupun 17 tahun mengetuai kerajaan negeri.....rumahnya masih lagi tidak berubah..., YAB Ketua Menteri Penang seperti contoh di atas.


Mereka berdua antara contoh pemimpin yang diberi keistimewaan tetapi MEMILIH untuk tidak menggunakannya kerana...........KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN.

Program.....Forum....Kursus....Bengkel....





Minggu lepas merupakan antara minggu yang banyak diisi dengan pelbagai program bermanfaat...Alhamdulillah. Antaranya pada hari Khamis (8/05/08) saya telah dijemput untuk menjadi ahli panel Forum Perdana anjuran PERANTAU berkaitan pembentukan keluarga bahagia dari perspektif Islam dan ilmu psikologi.


Pada hari Sabtu pula (10/05/08), Masjid Al-Firdaus, Taman Tunku, Miri mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah. Walaupun diamanahkan sebagai penceramah, cukup banyak ilmu dan pengalaman berguna telah dikaut daripada pengalaman "orang-orang tua" serta para peserta yang hadir.


Manakala pada hari Ahad pula, sekali lagi diamanahkan sebagai penceramah untuk tajuk "Ibadah" dalam Kursus Kefahaman Islam bertempat di Surau Hidayatullah, Miri. Amat menarik juga soalan-soalan yang dikemukakan yang berkisar tentang soal solat, solat jamak dan qasar serta pelbagai lagi. Peserta yang hadir pula, selain penduduk kampung turut disertai oleh ahli-ahli Unit Saudara Kita cawangan Miri.

Tuesday, May 6, 2008

WOW!!!! MEMBAZIRNYA....


Pendedahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin ketika menceritakan soal harga pakaian atau uniform Parlimen yang lebih dikenali sebagai baju istiadat (No. 1 Dress) dalam blognya.


Menurut blognya itu, harga sepasang pakaian itu bagi seorang ahli Parlimen berjumlah RM1,500 dan Parlimen membelanjakan kira-kira RM333,000 untuk tujuan itu bagi pakaian sejumlah 222 ahli Parlimen.


Harga bagi baju dan seluar sahaja membabitkan harga RM700 manakala 'appollete & geogette' yang terletak di bahu dan kolar baju berharga kira-kira RM600.00. "Kalau beli songkok kosong di Mydin harganya hanyalah RM13 tetapi bila tambah riben kuning dengan lencana Parlimen..praappp..jadi RM120," katanya secara berseloroh dalam blognya itu.


"Saya ingat kalau makcik-makcik yang keluar dalam rancangan 'BersamaMu' itu tau harga uniform ni mau dia 'tempeleng'...," katanya.


Berikut adalah senarai harga baju parlimen terbabit:-
1.- Baju RM 4502.- Seluar RM 2503.- Songkok RM 1204.- Appollette/Geogette RM 6005.- Butang RM 80 Jumlah RM 1500 ( x 222 Ahli Parlimen) = RM 333,000.00
#gambar di atas sekadar hiasan

(Ulasan : Tak tahulah nak cakap apa.......kalau boleh dikurangkan....kos buat baju bagus juga...boleh laburkan kepada perkara lain yang lebih bermanfaat/darurat)

Monday, May 5, 2008

Macam TAK PERCAYA!!!!





Intan Abdullah Foto Nasir Sudin Mon May 05, 08 12:21:04 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meluangkan masa makan tengahari di Restoran Cheng Ho milik penyanyi popular, Suhaimi Abdul Rahman, 50, atau Amy Search di Wangsa Maju, Setapak, Ahad lalu. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum itu merasmikan cawangan baru kedai buku Sarjana Media di Carrefour Wangsa Maju.


Kehadiran beliau di Restoran Cheng Ho disambut mesra Amy dan isteri. Amy yang terharu dengan kehadiran pemimpin utama PAS itu mengambil kesempatan membincangkan cadangannya menubuhkan sebuah rumah anak yatim dan tahfiz al-Qur'an di Johor. Turut hadir dalam majlis itu Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan kolumnis Harakah, Haji Subky Abdul Latif.


Ditanya mengenai label yang mungkin akan diletakkan kepada beliau apabila menyanjungi seorang tokoh politik, Amy menegaskan bahawa itu adalah hak individu kerana beliau berhak untuk meminati sesiapa. "Saya meminati tok guru dengan imej dan personaliti beliau sebagai seorang tokoh agama serta pemimpin yang hebat, kenapa harus takut dengan label-label yang berbau politik".


"Masyarakat yang ada pada hari ini telah dapat menilai sesuatu dengan lebih baik dan kita tidak perlu bimbang kepada elemen label-melabel kerana ianya tidak sepatutnya berlaku," katanya lagi.

(Dipetik daripada Harakahdaily)

Saturday, May 3, 2008

TEGURAN YANG MENARIK...



Mufti Perlis kritik program hiburan melampau 'ala zoo' dalam khutbah
Bashir Ishak Fri May 02, 08 4:46:29 pm MYT
KANGAR, 2 Mei (Hrkh)- Jika sebuah pemerintahan negara itu boleh diubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat, mengapa tidak sebuah program hiburan yang tidak berprinsip juga diubah dengan kuasa rakyat, demikian intipati khutbah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.
Katanya, artis membawa budaya yang melampau, bercanggah serta merosakkan bangsa dan budaya Melayu, juga sering mengakibatkan penonton-penonton menjerit-jerit seperti dalam zoo adalah bertentangan dengan agama.
Semasa berkhutbah di Masjid Alwi dekat sini tengahari tadi, Asri menyentuh tentang program Jom Heboh di Perlis yang sibuk diperkatakan apatah lagi beliau sendiri menyatakan bantahan sekiranya program tersebut melanggar peraturan yang ditetapkan.
"Islam bukanlah agama yang mengongkok sehingga menyusahkan manusia untuk hidup atau mengharamkan semua perkara untuk manusia. Demikian juga berhubung dengan hiburan. Islam tidak menghalang hiburan, tapi meletakkan batas dan mesti mengikut peraturan serta mempunyai garis panduan yang jelas.
"Festival Jom Heboh ini telah dibantah oleh beberapa buah negeri akibat pelbagai kontroversi yang timbul, sehingga ianya melangkah jauh beberapa negeri dan ia hinggap ke negeri ini. Kita bukan anti hiburan dengan mengatakan golongan muda, remaja hatta yang tuapun tak boleh berhibur, tapi mesti berperaturan.
"Kereta kita sendiri, harta sendiri yang dibeli dengan wang sendiri tapi apabila digunakan di jalanraya mestilah mengikut peraturan," katanya memberikan perumpamaan.
Katanya, setiap perkara mesti ada peraturannya dan Islam tidak pernah mengenal istilah hiburan tanpa batas atau hiburan tanpa had.
"Semua semua perkara ada 'rights and limits', ada hak dan hadnya maka apabila ia datang mestilah mengikut peraturan. Kita terkejut bila diiklankan ada artis yang dikenali bermasalah akan datang. Kita menegur bukan kerana beliau membuka baju tapi gelagatnya yangg berterusan. Kita mahu ada misi ada kejelasan.
"Kita tak mau apabila orang melihat hiburan bagikan pergi ke zoo, dengan melompat-lompat dan menjerit-jerit tanpa batasan dan tak tahu identiti.
Tapi dalam masa yang sama kita bercakap tentang memajukan Islam, memajukan umat Islam, mahukan minda kelas pertama tapi dalam masa yg sama kita menyogokkan kepada remaja dengan hiburan yang memperbodohkan mereka, dengan hiburan yang tidak membangunkan minda mereka," tegasnya.
Asri juga melihat betapa buruknya apabila hiburan yang dicontohi dari barat dibawa ke dalam minda anak-anak muda di negara ini.
"Artis di Barat menjerit-jerit dan melompat-lompat, jeritan dan lompatan itu menghasil wang yang banyak untuk menyara mereka dan jadikan manusia seperti kita menjadi pengikut, maka kita menjadi hamba kepada media.
"Tetapi jeritan artis dan remaja kita hanya yang didengar ialah tentang isu, cerita keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.
"Kita bercakap tentang kemajuan, adakah remaja kita tidak maju kerana tidak tahu melompat atau menjerit? Maka kita tak dapat menerima artis rock di negeri ini, hiburan kita berperaturan kita tak dapat terima unsur khurafat, campur gaul yang melampaui batasan, pendedahan tubuh dan tidak menghormati sensitiviti orang Islam dengan tidak dapat membezakan waktu solat. Sebelum ini kedengaran muzik dan bunyi-bunyian mengatasi suara azan. Kita telah banyak dicandukan dengan hiburan seperti ini setiap kali ada pesta hiburan yang meruntuhkan moral anak-anak kita," ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang pembabitan anak-anak orang Melayu/Islam yang ramai setiap kali berlangsungnya pesta hiburan.
"Anak siapakah yang pergi ke hiburan itu? Kebanyakannya anak orang-orang Melayu yang mengaku Islam. Tapi apabila ada pesta buku, pesta ilmu atau pertandingan yang membangun minda yang kering-kontang adalah anak-anak orang Melayu yang mengaku Islam.
"Keruntuhan moral, keciciran dalam pelajaran dan pelbagai-bagai lagi disebut sedangkan negara ini semakin hari semakin dikutip dan direbut oleh orang lain. Alangkah buruk dan bodohnya generasi ini jika mereka terus dibiarkan tenggelam dalam hal yang sedemikian.
"Kita bukan ekstrimis agama atau anti hiburan tapi kita mahu melihat generasi ini maju ke hadapan dan demikian tanggungjawab kepimpinan orang Islam mestilah berfikir untuk memajukan umat mereka," serunya.
Asri turut menyeru ibu-bapa supaya mengambil tanggungjawab memastikan anak-anak agar tidak terbabit dalam Festival Jom Heboh di Perlis sekiranya ianya gagal mengikuti peraturan yang ditetapkan.
"Jika tidak menurut peraturan, ibu bapa mesti memastikan anak-anak mereka tidak terlibat sama. Allah Taala mengingatkan 'Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka'.
"Jika mematuhi aturan, bolehlah pergi melawat pameran atau hiburan yang tidak melampau. Tapi jika tidak patuh, kitalah ibu bapa yang bertanggungjawab memastikan unsur-unsur ini tidak meyusup masuk ke jiwa anak-anak.
"Jangan fikir kita sebagai ibu bapa siapalah kita untuk menghalang suatu program yang besar, tetapi hendaklah fikir kitalah yang bertanggungjawab dan memikul amanah".
"Jika pilihanraya yang membabitkan mengubah pemerintahan negara boleh dibubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat apabila setiap orang merubahnya, demikianlah juga hiburan, apabila ianya tidak berprinsip, ianya boleh diubah dengan kuasa rakyat," katanya lagi. -(Dipetik daripada Harakahdaily)